Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar perlahan tahun ini ketika negara mula pulih beransur-ansur daripada langkah dan dasar yang dilaksanakan semasa perintah kawalan pergerakan, kata seorang ahli ekonomi.
Profesor di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Geoffrey Williams berkata meskipun negara bakal menyaksikan pertumbuhan ekonomi, namun angkanya dijangka tidak optimistik seperti yang diramalkan oleh ahli ekonomi antarabangsa berikutan pelbagai faktor termasuk dasar sekatan pergerakan.
“Ia mungkin sekitar 3.5 peratus kerana dasar sekatan pergerakan telah menjejaskan semua aspek ekonomi domestik dan kita telah melihat gaji purata dan median menyusut,” katanya.
Williams berkata demikian semasa Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2022 mengenai tajuk ‘State of the Nation: Understanding Opportunities and Risks in 2022 To Build Back Better’.
Beliau berkata pelaburan domestik sebagai sebahagian daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia terus menurun — aliran yang berterusan sejak 2016 — manakala hutang pengguna dan isi rumah terus meningkat manakala akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkurangan dengan ketara.
“Faktor-faktor ini memberi impak struktur yang ketara ke atas ekonomi dan sehubungan itu, kami tidak menjangkakan sebarang lantunan semula ekonomi yang signifikan tetapi pemulihan ekonomi yang agak perlahan, tentatif dan rapuh,” katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya berlaku peningkatan kes varian Omicron dan kerajaan mengambil langkah yang agresif, situasi seperti 2020 akan berulang kembali apabila negara bermula dengan positif dengan unjuran pertumbuhan yang tinggi namun mengakhiri tahun itu dengan pertumbuhan negatif akibat daripada pandemik COVID-19.
Mengulas mengenai kadar inflasi negara, Williams berkata faktor-faktor luaran seperti harga minyak dan impak daripada sekatan pergerakan telah membawa kepada peningkatan inflasi pada awal 2021.
“Kita tidak boleh berbuat apa-apa dengan faktor luaran yang di luar kawalan kita, namun, sekatan pergerakan telah menjejaskan rantaian bekalan dan ini sebahagiannya disebabkan oleh pelbagai dasar dari segi kawalan harga dan penghapusan kawalan harga, yang memberi kesan kepada inflasi keseluruhan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tanpa mengambil kira inflasi teras, kadar inflasi adalah sederhana dan menjangkakan inflasi keseluruhan menyusut.
“Kami menjangkakan inflasi berada sekitar 1.6 peratus, ia mungkin meningkat perlahan-lahan tetapi ia akan berada di bawah dua peratus menjelang akhir 2022,” katanya.
Beliau berkata, dari segi inflasi keseluruhan, ia dijangka turun naik, tetapi lebih rendah berbanding tahun 2020 dan 2021.
“Kami menjangkakan ia kembali normal sekitar dua peratus,” katanya.
Sementara itu, mengenai impak Bajet 2022, Williams memberi penekanan tentang kepentingan menubuhkan sebuah institusi fiskal bebas di negara ini bagi membantu memahami impak perbincangan bajet daripada perspektif forensik yang akan melapor terus kepada parlimen dan juga rakyat.
— BERNAMA