Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Teknologi Kenderaan Elektrik antara Fokus MOSTI 2022

By 25 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu kenderaan elektrik (EV), sekuriti kesihatan negara dan inovasi sosial pada tahun ini, selari dengan tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata fokus EV yang mesra alam sekitar serta memberi impak sampingan positif itu adalah bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV terutamanya kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan pengusaha tempatan.

“Antara langkah yang diambil adalah pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama syarikat pemula dan industri kecil sederhana (IKS), menerusi program ‘Enabling Mobility Electrification for Green Technology’ (Emerge) yang diterajui NanoMalaysia Bhd,” katanya pada Majlis Amanat 2022 MOSTI bersama Dr Adham di Kuala Lumpur, hari ini.

Di samping itu, Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) iaitu platform perintis peringkat kebangsaan turut diperkenalkan bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.

Mengenai sekuriti kesihatan negara, beliau berkata bagi tahun 2022, Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) akan memainkan peranan yang lebih besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin serta turut membabitkan kerjasama dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa.

Katanya MGVI turut menerajui pengesanan pemantauan genom, pemindahan teknologi serta perkongsian data yang semakin kritikal dalam membantu pelaksanaan usaha pengawalan wabak penyakit seperti COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda