Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hampir 20 Syarikat Automotif Sertai Inisiatif Baucar Diskaun

By 8 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia setakat ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata pemilik kenderaan dengan kenderaan yang rosak akibat banjir boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat tanpa perlu membuat sebarang permohonan

“Pengurangan kos pembaikan bakal dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tengku Zafrul berkata tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022 dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis atau pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Katanya, kerajaan akan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia dengan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia ini, khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.

“Kerajaan mengalu-alukan langkah syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Bhd (PERODUA) dan Proton Holdings Bhd untuk menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti. PERODUA juga telah menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma.

“Kerajaan menggalakkan syarikat automotif yang lain untuk turut menawarkan insentif yang lebih baik untuk pelanggannya,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, beberapa peruntukan dan langkah tambahan telah diambil oleh kerajaan bagi menangani bencana banjir, termasuk jumlah pembiayaan maksimum ditambah daripada RM500,000 kepada RM700,000 untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi perusahaan mikro pula jumlah pembiayaan maksimum ditambah daripada RM75,000 kepada RM150,000.

“Tempoh pembiayaan maksimum juga dipanjangkan daripada lima tahun kepada tujuh tahun,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kerajaan menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.

Salah satu daripada bantuan tersebut adalah Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2022 bagi meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di mana jumlah peruntukan telah ditingkatkan daripada RM200 juta kepada RM500 juta.

Berikut adalah senarai syarikat automotif yang terlibat dengan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia:

1 . Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA)

2 . Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON)

3 . Tan Chong & Sons Motor (Nissan)

4 . UMW Toyota Motor

5 . Honda Malaysia

6 . Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)

7 . Volvo car Malaysia

8 . TC Euro Cars (Renault)

9 . Mercedes-Benz Malaysia

10 . BMW Malaysia

11 . Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain)

12 . Mazda, Peugeot dan KIA

13 . TC Subaru

14 . Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)

15 . Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.

16 . Boon Siew Honda Sdn.Bhd.

17 . Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS)

18 . Mofaz Motorsikal Sdn. Bhd.

19 . KMSB Motors Sdn.Bhd. (Suzuki)

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda