Laporan/foto: Nor Emylia Lot/ Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Kenaikan peratusan kes positif COVID-19 melibatkan varian Omicron di negeri ini mengundang keresahan dan kebimbangan masyarakat.
Isnin lalu, dalam satu kenyataan media, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata dua kes jangkitan melibatkan jemaah di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut manakala masing-masing satu kes di Kemaman dan Kuala Nerus.
Sehingga kini, Terengganu merekodkan lapan kes positif COVID-19 melibatkan varian Omicron dengan kesemuanya membabitkan jemaah yang pulang menunaikan umrah di Makkah.
Sementara itu, hasil tinjauan di lapangan mendapati majoriti orang awam yang ditemui menzahirkan kebimbangan mereka apabila virus varian berkenan mula merebak di kalangan masyarakat ketika ini.
Penjawat Awam, Aidil Farhan Abdul Rahman, 24, berkata orang ramai perlu sentiasa mempertingkatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha untuk mengekang jangkitan COVID-19.
“Orang ramai telah dibenarkan melakukan pergerakan merentas daerah dan negeri bagi yang telah lengkap vaksinasi, oleh itu, sebagai warganegara yang bertanggungjawab perlu sentiasa menjaga pematuhan SOP,” katanya ketika ditemuramah di sini, semalam.
Tambah Aidil, orang ramai ketika ini mula berasa selesa dan bersikap sambil lewa serta kurang mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Pekerja Swasta, Saiful Adil Borhan, 23, berkata beliau berasa resah dan bimbang apabila varian baharu mula merebak di negara ini khususnya di Negeri Terengganu.
“Kami sekeluarga sentiasa memastikan pematuhan SOP dengan ketat kerana ketika ini orang ramai sudah mula kurang mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti tidak lagi menjaga penjarakan fizikal kerana aktiviti sosial telah mula dilaksanakan ketika ini.
“Apa yang paling dikesalkan adalah, wujud segelintir individu yang bersikap tidak bertanggungjawab dengan tidak mengimbas kod MySejahtera ketika memasuki premis jualan di sini sehingga menyukarkan pihak berwajib untuk mengesan kontak rapat sesebuah kes,” katanya.
Menggulas mengenai varian baharu berkenaan, kes pertama dikesan ialah pada 15 Disember melibatkan jemaah wanita yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dia diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO).
Kesemua lapan kes varian Omicron itu hanya melibatkan pesakit kategori satu dan dua.
Sehingga 6 Januari lalu, jumlah kumulatif kes varian Omicron yang dicatatkan ialah 245 kes dengan 157 kes melibatkan jemaah umrah.