
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Terengganu)
DUNGUN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Program gotong-royong Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai KM Kampung Sura terus berperanan menyuntik semangat kebersamaan dan perpaduan antara komuniti.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Sura Mohamad Sahide Ibrahim, ianya bukan sahaja menghidupkan semula warisan budaya masyarakat, malah menjadi medium terbaik untuk memperkukuhkan semangat perpaduan, kerjasama dan silaturahim dalam kalangan penduduk tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

Aktiviti gotong-royong mengeratkan hubungan sesama jiran selain memupuk semangat kekitaan dalam komuniti masyarakat, berinteraksi dan saling membantu.
“Melalui aktiviti gotong-royong seperti ini, masyarakat dapat berkumpul, berinteraksi dan saling membantu, sekali gus mengeratkan hubungan sesama jiran serta memupuk semangat kekitaan dalam komuniti,” katanya pada program gotong-royong memasak dan mengacau bubur Asyura anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sura Tengah, di sini semalam.
Kata lagi, program sempena bulan Muharam tersebut itu menjadi platform untuk menyemai nilai-nilai murni seperti kesyukuran, keikhlasan dan semangat saling berkongsi rezeki, di samping meningkatkan kecintaan kepada Allah SWT melalui amalan-amalan mulia dalam bulan yang penuh keberkatan.
Dalam pada itu, penganjuran program turut menjadi wadah memelihara tradisi, memperkukuh keharmonian serta menyemarakkan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Dungun Mohd Fadli Muhd Yusof, pemimpin masyarakat serta penduduk sekitar.
-RI




