
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/YIDE
SHAH ALAM, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyasarkan kutipan Kupon Infaq sebanyak RM1.5 juta di lima daerah di Selangor tahun ini.
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata daerah terlibat adalah Hulu Langat, Gombak, Klang, Petaling dan Sepang.
“Kupon bernilai RM2.00 sekeping diserahkan kepada orang ramai semasa mereka membayar zakat fitrah kepada amil-amil yang dilantik semasa bulan Ramadhan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, kutipan tahun 2021 berjumlah RM651,110 di daerah berkenaan kecuali Sepang menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2020 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kutipan ini untuk membantu kumpulan sasar iaitu mangsa-mangsa musibah atau malapetaka, pesakit dialisis di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan juga anak-anak yatim seliaan YIDE.
“Sumbangan turut diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor melalui Pek Kasih YIDE, Bakul Kasih YIDE dan pembelian peralatan persekolahan kepada anak-anak yatim berjumlah RM200,000,” jelasnya.
-RI