
Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim (Kulai)
KULAI, 19 April (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Kulai menjalankan penguatkuasaan keselamatan dan kualiti di bazar Ramadan bagi melindungi hak pengguna yang berkunjung serta pemeriksaan kebersihan makanan yang dijual termasuk memeriksa pengendali makanan agar mematuhi syarat yang ditetapkan sebagai seorang peniaga.
Operasi yang dilakukan secara berkala ini melibatkan 20 anggota yang ditugaskan untuk memantau dan memeriksa bazar Ramadan sekitar daerah Kulai.
Pemantauan telah dilakukan di Bazar Ramadan Temenggong dan tiada kompoun dikeluarkan, namun amaran telah diberikan kepada peniaga agar meningkatkan mutu kebersihan dan cara mengendalikan makanan.
“Masyarakat perlu lebih peka dalam memilih, dan kami memohon agar orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak kesihatan sekiranya terdapat kecurigaan terhadap para peniaga,” kata Mohd Osman, anggota penguatkuasa yang bertugas.
-ZS-