
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) komited dalam memperkenalkan inisiatif baharu bagi tujuan mensejahterakan warganya tanpa sesekali melupakan Labuan.
Menurut Menterinya Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, salah satu buktinya KWP secara berperingkat menghantar 1.25 juta telur ayam, selain 41,500 paket minyak masak bersubsidi ke Labuan menerusi lima kali penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan.
“Pada 26 April lalu, KWP menghantar bekalan telur ayam sebanyak 250,000 biji bersama 8,500 paket minyak masak, disusuli lagi dengan penghantaran kedua pada 29 April dan yang ketiga pada 1 Mei lepas.
“Menerusi inisiatif ini warga Labuan menikmati subsidi daripada KWP bagi pembelian sebiji telur ayam iaitu daripada 46 sen menjadi 33 sen atau RM10 sepapan.
“Minyak masak pula diberikan subsidi daripada RM2.50 ke RM2.00 melibatkan peruntukan subsidi daripada KWP sebanyak RM183,750 untuk inisiatif ini,” katanya semasa
berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan dan Semarak Aidilfitri, di sini pagi tadi.
-ZS-