
Laporan/foto: Marianne Inya Thomas (Sarawak)
KUCHING, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Minat menghasilkan anak patung yang mengenakan busana tradisional etnik di Sarawak oleh seorang pramugara Malaysian Airlines (MAS), bermula hanya sebagai hobi bagi mengisi masa terluang berikutan pandemik Covid19.
Wesley anak Juntan, 35, seorang anak muda yang berasal dari Sekuau, Sibu, Sarawak dan kini menetap di Kuala Lumpur, mula dikenali ramai apabila ciptaannya, Borneo Doll, semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
“Tanpa diduga rekaan tersebut menjadi viral di sosial media sehingga saya mula mendapat banyak tempahan untuk menghasilkan Borneo Doll dalam busana tradisional etnik-etnik di Malaysia,” kata Wesley ketika ditanya mengenai timbulnya idea untuk mencipta anak patung yang unik ini.
“Pada mulanya, saya menggunakan wang simpanan sebagai modal namun setelah mendaftar dengan SSM dan Kraftangan Malaysia, saya turut mendapat bantuan dari kerajaan seperti geran PENJANA,” tambahnya lagi.
-ZS-