
Laporan/foto: Zaidi Jamin (Sabah)
KOTA KINABALU, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Warga emas disaran terus prihatin terhadap tahap pendengaran peribadi untuk terus kekal aktif.
Audiologis Hospital Queen Elizabeth (HQE), Amirul Asyraf Jamaludin berkata setiap individu khususnya warga emas wajar melakukan pemeriksaan pendengaran secara berkala kerana pendengaran yang baik mampu meningkatkan komunikasi seterusnya mengelak sebarang penyakit sampingan.
“Masalah pendengaran merupakan masalah kesihatan ketiga tertinggi dalam kalangan warga emas iaitu 25 peratus daripada mereka mengalaminya.
“Kajian menunjukkan masalah pendengaran yang tidak dirawat boleh meningkatkan risiko sampingan seperti jatuh, selain risiko untuk mengalami demensia iaitu kesukaran untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi,” katanya dalam majlis Pelancaran Program Karnival Pendengaran Warga Emas di Galeri Seni Sabah, di sini baru-baru ini.
Selain ceramah dan pameran kesihatan, warga emas yang hadir turut berpeluang menjalani sesi ujian saringan secara percuma.
-ZS-