
Laporan/foto: Nur Arinnica Arif/Nurunnadia Abdullah (Kluang)
KLUANG, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Cuaca hujan tidak melunturkan semangat hampir 500 orang penduduk Kluang yang teruja menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang tiba di Dataran Tasik Putih, Kluang, petang semalam, dengan masing-masing mengibarkan Jalur Gemilang di tangan.
Turut menyambut ketibaan konvoi, Pegawai Daerah Kluang, Haji Jamaludin Haji A Hamid, bersama-sama ketua-ketua jabatan kerajaan serta pemimpin masyarakat berbilang bangsa di daerah.
“Saya menyeru agar masyarakat tidak hanya menunggu Jabatan Kerajaan untuk mengedarkan Jalur Gemilang, kerana semangat itu harus lahir dari jiwa kita sendiri,” ujar Haji Jamaludin dalam ucapan beliau ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Daerah Kluang, yang diadakan di sini, semalam.
Sebaik sahaja pelepasan Konvoi KMKM 2022 akan menuju ke destinasi seterusnya, sebanyak 17 buah kenderaan jabatan kerajaan daerah Kluang telah bergerak secara konvoi mengelilingi bandar Kluang.
-ZS-