
Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad/Alizan Sulong (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JaPen) menganjurkan Majlis Apresiasi sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022 di Mayang Place Batu Buruk, Kuala Terengganu hari ini.
Penganjuran majlis tersebut diadakan bagi memberi penghargaan kepada agensi, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang terbabit membantu JaPen Negeri Terengganu bagi menggelora dan menyemarakkan HKHM 2022 di Terengganu.
Ahli Majlis Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, “majlis seperti ini wajar diadakan setiap tahun bagi memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam program yang dianjurkan oleh JaPen dan juga kerajaan negeri”.
Selain itu, Ustaz Mohd Nor turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2022 peringkat negeri Terengganu, Kumpulan Atma Seni dari Ranaco Education, Kemaman dan pemenang Kuiz Asean 2022 iaitu pelajar Sekolah Menengah Sains, Kuala Terengganu.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah JaPen Negeri Terengganu, Encik Saharrudin Mohamed.
-ZS-