
Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)
MELAKA, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Melaka akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini yang bakal disiarkan secara langsung melalui stesen-stesen tv dan platform media sosial seluruh negara.
Dijangka lebih 20,000 pengunjung akan menbanjiri Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir pada 16 September nanti.
Kebiasaannya kita sebagai penonton hanya melihat dengan mata kasar sesuatu sesuatu program berlangsung, namun bagi yang berada di lokasi sudah pasti dapat melihat petugas-petugas di belakang tabir merealisasikan hasrat tersebut.
Bagi seorang jurutera pencahayaan sebuah syarikat swasta Syed Salahuddin, 37, bertugas sempena acara besar bukanlah semudah yang disangka.
“Saya bekerja pada majlis ini tidak tentu masa, contohnya untuk tugasan semalam ia selesai pukul 8 pagi tadi dan pukul 10 pagi memulakan semula tugas untuk hari ini.
“Saya bertanggungjawab dalam menguruskan kerja pemasangan, susun atur mengikut spesifikasi RTM untuk siaran langsung, pendawaian elektrikal dan pemprograman pergerakan lampu, dan kesemua ini memerlukan tumpuan yang penuh,” katanya ketika ditemui dalam persiapan akhir sempena program, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini hari ini.
Menurut seorang penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Muhammad Aiman Haikal Osman, 23, beliau dan rakan-rakan mengambil masa dua minggu berlatih untuk Segmen Malaysia dan Segmen Rakyat.
“Setiap hari kami berlatih 12 hingga 16 jam bermula seawal pukul 8 pagi hingga 12 malam yang diawasi oleh pengarah persembahan dan kareografer.
“Komitmen penuh setiap peserta amatlah diperlukan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Bagi pekerja pembersihan pula, Norkusni Talib, 43, menyifatkan setiap individu terlibat dalam acara bersejarah ini memainkan peranan penting.
“Saya akan tiba di tempat kerja seawal 6 pagi dan memulakan kerja membersihkan tapak acara ini dari pukul 7 pagi hingga 12 malam.
“Saya menyapu sampah-sarap, kutip botol-botol, plastik, makanan serta memastikan tong sampah di kawasan sekitar tidak terlalu penuh,” katanya.
Norkusni turut berharap agar masyarakat dapat menghargai setiap tugas dan peranan yang dilakukan dalam menjayakan program ini.
“Betapa pentingnya peranan semua pihak bekerjasama sebagai satu Keluarga Malaysia, daripada pegawai-pegawai kerajaan sehinggalah kepada pekerja pembersihan dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia tercinta ini,” katanya lagi.
-ZS-