
Laporan/foto: Azuraini Abd Majid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan 2022 disambut meriah di Dataran Merdeka, di sini dengan kehadiran pengunjung hampir mencecah 100 ribu orang seawal pukul 5 pagi, semalam.
Setelah hampir dua tahun tidak dapat meraikan acara bersejarah ini dengan penuh gilang-gemilang, keterujaan pengunjung tidak dapat disangkal lagi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semasa ditemui ketika sidang media berkata sambutan rakyat pelbagai kaum yang menghadiri dan menyertai acara perbarisan serta perarakan Sempena Hari Kebangsaan 2022 ini sangat luar biasa dan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ berjaya diterjemahkan.
Paling mencuri perhatian pengunjung adalah lintas hormat dan pertunjukan udara yang dilakukan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Turut menggamatkan suasana di Dataran Merdeka adalah persembahan tema dan formasi pergerakan Keluarga Malaysia, perbarisan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi swasta, perarakan aset-aset milik Kerajaan, kereta berhias serta persembahan artis.
-ZS-