
Laporan/foto: Rose Rasidi/Intan Saziana
CAMERON HIGHLANDS, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Cuaca mendung dan hujan renyai-renyai bukan penghalang untuk meneruskan aktiviti yang dirancang sempena Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Daerah Cameron Highlands yang berlangsung di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands, di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti menarik dipersembahkan seperti seni pertahanan diri Silat Seni Gayong, Taekwando, senamrobik, demonstrasi bomba, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan serta pelbagai acara sukan lapangan dan e-sport dipertandingkan.
Menurut Penolong Pegawai Daerah, Siti Rothemanizan Otheman, pelaksanaan program pada hari ini merupakan komitmen kita sebagai warga Malaysia dalam menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang turut diberikan penekanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Walaupun dalam suasana hujan renyai-renyai, setiap ahli keluarga saling berganding bahu dan menyokong antara satu sama lain dalam menjayakan program kesukanan dan kesihatan ini dan menyokong Gagasan Keluarga Malaysia,” ujarnya yang merasmikan program mewakili Pegawai Daerah Cameron Highlands.
-ZS-