Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kerajaan Lulus RM10.5 Juta Bina Pam Air dan Rumah Pam di Mersing

By 30 Januari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi

MERSING, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah meluluskan serta-merta pelan jangka pendek pengurusan banjir di Mersing berjumlah RM10.5 juta, bagi pembinaan tiga pam air dan rumah pam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, ianya disalurkan menerusi peruntukan sedia ada daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan akan dikoordinasikan bersama  Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Pegawai Daerah Mersing dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Banjir yang berlaku telah dapat ditangani dengan pantas oleh pihak Jawatankuasa Bencana Negeri dan Daerah dan seramai 234 keluarga telah dipindahkan ke enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Mersing. Pelbagai bantuan telah disalurkan kepada ketua isi rumah yang terlibat, termasuk bantuan pasca banjir.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa menggembleng tenaga dan meningkatkan pengurusan serta usaha bagi membantu semua mangsa yang terlibat dengan menyediakan keperluan asas harian,” katanya dalam sidang media di PPS Politeknik Mersing sejurus melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mersing, baru-baru ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

-ZS

Tinggalkan komen anda