Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)/Majlis Perbandaran Batu Pahat
BATU PAHAT, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang menerima sumbangan Tahun Baru Cina 2023 daripada Yayasan Makmur Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, semalam.
Timbalan Pengerusi Yayasan Makmur Batu Pahat Ezahar Abu Sairin berkata Yayasan Makmur Batu Pahat mengagihkan bantuan berbentuk ang pau dan barang keperluan harian mengikut Zon Ahli Majlis dalam kalangan kaum Cina dan senarai e-Kasih serta Majlis Perbandaran Batu Pahat.
“Sudah tentu kedatangan tahun arnab membawa pengertian yang amat besar kepada masyarakat Cina kerana ianya adalah simbol umur panjang, keamanan dan kemakmuran.
“Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kedatangan sesuatu perayaan amat dinanti-nantikan kerana ia bukan sahaja disambut oleh kaum berkenaan, malah oleh kaum lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Seorang penerima Chuah Ah Kok, 64, berasa gembira dan berterima kasih kepada Yayasan Makmur Batu Pahat kerana bantuan tersebut dapat meringankan beban keluarganya dalam menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Batu Pahat, Nor Rashidah Ramli dan Maslin Ruhaila Muhamad Rashid.
-ZS-