Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Polis Wangsa Maju Dekati Masyarakat Setempat

By 27 Februari 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Nor Azwin Jamil

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pencegahan jenayah di peringkat komuniti, Balai Polis Wangsa Maju telah menganjurkan satu Program Townhall PDRM Bersama Komuniti, di sini kelmarin sebagai platform interaksi dua hala antara polis dan rakyat.

Tinjauan Malaysia Aktif mendapati topik penipuan dan masalah trafik di Bandar Raya Kuala Lumpur menjadi isu yang paling dititikberatkan oleh masyarakat setempat di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Menurut Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil SM Guna Subramaniam kes penipuan jual beli emas semakin meningkat terutamanya dalam kalangan wanita yang suka membuat pembelian dalam talian.

“Jangan percaya dengan jualan emas murah-murah ini. Nilai segram emas sekitar RM270 di pasaran sekarang. Mana ada orang yang sanggup jual emas pada harga yang murah.

“Sekiranya dia nak jual boleh pergi kedai emas, tak payah susah-susah cari pembeli di talian,” nasihat SM Guna kepada masyarakat setempat di sini khususnya golongan wanita yang suka beli barang atas talian.

Selanin SM Guna sesi taklimat umum yang berlangsung selama dua jam itu turut menampilkan tiga lagi panel iaitu DSP Mohd Fadzli Mohd Yatim Pegawai Turus Penguatkuasaan dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Insp Shogi Arumugam dan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Insp Mohd Razizuan Mohd Razali.

Kesemua empat panel tersebut telah menggunakan masa yang diberikan pada sesi kali ini untuk berkongsi maklumat dan penerangan mengenai isu berkait bahagian masing-masing.

Masyarakat setempat juga mengambil peluang dan ruang yang disediakan ini untuk mendapatkan penjelasan serta menyuarakan pandangan mengenai isu-isu yang dihadapi di peringkat komuniti.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan turut dihadiri Ketua Balai Polis Wangsa Maju ASP Mohd Fairul Nizam Anuar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda