
Laporan/foto: Zaidi Jamin
KOTA KINABALU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Program keagamaan berkonsepkan pembangunan sahsiah dan kerohanian mampu membentuk moral dan pemikiran positif pelajar.
Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, penganjuran program yang menjurus ke arah kebaikan dan tuntutan agama seperti Majlis Khatam Al-Quran bukan sahaja membentuk moral yang baik kepada pelajar malah mampu melahirkan generasi muda celik Al-Quran.
“Majlis seperti ini bukan sahaja sebagai tanda menghabiskan bacaan dan tamatnya proses pembacaan dan pembelajaran terhadap Al-quran sebaliknya kita dituntut untuk terus memahami, menghayati dan menggali maksud serta rahsia Kitab Al-Quran sebenarnya.
“Membaca Al-Quran mengandungi fadhilat besar malah penghayatan dan kajian berterusan terhadap mesej yang terkandung dalamnya sudah pasti membantu menghindarkan diri setiap umat Islam kepada pemikiran yang songsang,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Sesi 2022/2023 Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya di Bangunan Wisma Wanita, baru-baru ini.
Seramai 53 peserta dalam kalangan pelajar tahun enam terlibat dan menerima sijil pada majlis anjuran Persatuan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah berkenaan.
Hadir sama, Guru Besar SK Sri Gaya, Supiah Noor, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Mohammad Arif Tun Sakaran, Exco PIBG serta barisan pentadbiran SK Sri Gaya.
-ZS-