Laporan/foto: Yusmila Yusof/Fasharina
SIK, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Jika sebelum ini daerah Sik terkenal dengan keindahan alam seperti Tasik Beris, Tasik Gubir, Lata Mengkuang dan beberapa lagi lokasi riadah yang lain, terbaharu satu lagi lokasi menarik yang dijangka akan menjadi tumpuan orang ramai ketika musim cuti.
Hari ini Malaysaaktif berkesempatan meninjau sendiri lokasi yang digelar “Tortoise Hill” oleh penduduk setempat yang terletak di Kampung Kura, Sik, Kedah itu.
Pengerusi JPKK Kampung Kura, Cham Nong Ai Keling, 47, berkata kawasan ini mula dibina sekitar tiga tahun lepas oleh pemilik tanah tersebut apabila melihat kawasan ini mempunyai keindahan yang tersendiri dan mempunyai potensi untuk dimajukan.
“Kawasan ini telah mula menerima kunjungan orang ramai meskipun masih dalam proses pembinaan” ujarnya.
Menurutnya lagi, kawasan ini mendapat sumber air dari puncak bukit dan menggunakan kemudahan lampu solar pada waktu malam.
Bagi mereka yang mencintai alam semulajadi, kawasan ini amat sesuai untuk dikunjungi kerana mempunyai pemandangan yang indah disamping dapat melihat keindahan senibina kawasan ini yang menggunakan sumber alam semulajadi seperti kayu hutan.
-ZS-