Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Dataran Labuan kini berwajah baharu selepas projek naik taraf dataran itu yang bernilai RM 2.3 juta selesai pada Februari lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail, kerja-kerja naik taraf melibatkan beberapa komponen seperti system pencahayaan, landskap dan permukaan lantai.
“Dalam masa terdekat kita akan menaik taraf astaka dan jika ada peruntukan pancutan air di kawasan ini juga akan dibaiki,” katanya semasa membuat tinjauan di dataran itu semalam.
Beliau turut berharap agar warga Labuan dapat menghargai dan memanfaatkan Dataran Labuan sebagai lokasi untuk beriadah bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu.
“PL juga akan mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan tambahan seperti surau dan tempat berwuduk pada bulan Ramadan memandangkan dataran ini sudah menjadi lokasi popular untuk berbuka puasa bagi warga tempatan,” katanya.
-ZS-