
Laporan/foto: Surega Vasuthevan/Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali turun padang bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Datuk Kalsom Noordin dalam program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka, di sini semalam.
Program dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pengkalan Batu yang berlangsung di Kompleks JAPERUN Pengkalan Batu ini membuka 16 kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai agensi kerajaan dan juga swasta turut menawarkan pelbagai khidmat percuma seperti gunting rambut, pemeriksaan kesihatan wanita dan sebagainya khusus untuk warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Menurut Kalsom Noordin, program ini merupakan satu platform yang begitu penting untuk masyarakat setempat bersemuka dan menyuarakan aduan serta permasalahan yang dihadapi tanpa birokrasi jabatan-jabatan dan juga agensi-agensi yang berkaitan.
“Ketua Menteri Melaka turut melancarkan slogan bagi DUN Pengkalan Batu iaitu ‘Bersih, Indah dan Harmoni’ dengan mengedarkan sebuah pokok kepada 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu,” ujarnya.
-ZS-