
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) semalam telah mengedar 500 kit kebersihan untuk kegunaan mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terpilih di Johor.
“Pihak kami telah mengedarkan 500 MERCY kit kebersihan kepada 10 PPS terpilih yang mana di dalamnya terdapat sabun basuh, sabun mandi, berus gigi, ubat gigi, pensanitasi tangan, pelitup muka, tuala mandi, gayung, kain batik, kain pelikat, plastik serbaguna dan baldi, semua ini hanya untuk mangsa banjir,” ujarnya.
“Misi MERCY Malaysia ke Johor pada kali ini adalah bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang mengalami masalah kesihatan ringan atau penyakit berjangkit bawaan air banjir dengan mengadakan kaunter pemeriksaan secara percuma,” kata Ketua Pasukan Misi MERCY Malaysia Shaayyum Hamdan.
Setakat ini, jumlah mangsa yang masih menduduki Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daerah Segamat adalah berjumlah 4,554 mangsa yang terdiri daripada 1,057 buah keluarga.
“Sudah tiga hari pihak MERCY berkumpul di Segamat bagi mengadakan kaunter pemeriksaan percuma kepada mangsa banjir dan setakat hari ini, sebanyak 142 pesakit sudah mendaftar bagi mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Musa Muhamad Khan, 60, mangsa banjir meluahkan rasa bersyukur dengan adanya pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan kaunter pemeriksaan percuma kerana Klinik Kesihatan Chaah turut ditenggelami air banjir dan menyukarkan penduduk untuk mendapatkan rawatan dengan segera.
“Saya datang ke Dewan Kampung Kangkar Chaah adalah disebabkan ada mendengar pihak MERCY ada buka kaunter kesihatan percuma, sebab itu saya untuk membuat pemeriksaan dan mengambil ubat,” kata Roziah Kotel, 53, seorang mangsa banjir ketika mendapat rawatan.
-ZS-