Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Cucur Durian Air Tangan Raja Permaisuri Agong

By 7 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Rose Rasidi

CAMERON HIGHLANDS, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Siapa yang tidak kenal dengan kepakaran Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sentiasa menyajikan masakan yang pastinya membuat semua tetamu teruja dengan hasil air tangan baginda.

Yang pasti, penduduk Kampung Orang Asli Kuala Boh amat bertuah apabila Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli menyediakan juadah cucur durian sempena keberangkatan baginda bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni penduduk di sini Ahad lalu.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Rosana Padang meluahkan rasa gembira kerana kampungnya menjadi pilihan lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Saya sangat bersyukur apabila dapat melihat sendiri baginda berdua ke kampung kami dan bertambah gembira apabila menyaksikan Raja Permaisuri Agong sendiri memasak cucur durian dan memberikan nasihat tentang masakan kepada kami,” ujarnya lagi.

Bertambah manis apabila Yang di-Pertuan Agong membantu Tunku Azizah menggoreng cucur durian dan baginda sendiri mempelawa penduduk merasai cucur durian hasil masakan Tunku Azizah.

Selain menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Kuala Boh, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga turut berkenan mengurniakan bantuan persekolahan, penyerahan van kepada penduduk, bantuan zakat baik pulih rumah serta mendengar taklimat penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda