Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Penduduk Tabah Hadapi Gelombang Kedua Banjir

By 4 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 4 Mac (Malaysiaaktif) – METMalaysia meramalkan luruan monsun yang berterusan akan menyebabkan hujan lebat di Timur Semenanjung, manakala perairan Laut China Selatan akan mengalami angin kencang dan laut bergelora sehingga 6 Mac ini.

Begitu juga dengan daerah Segamat, Kluang dan Mersing yang telah diberi amaran hujan pada tahap bahaya.

Bagi penduduk Kampung Tenang yang menghadapi banjir untuk kali kedua pada tahun ini, mereka sudah pun menetap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang sejak awal lagi.

Ketua Kampung Tenang, Ismail Abu Bakar, 66, menyatakan bahawa gelombang banjir pertama mula dirasai pada 28 Februari 2023 dan melibatkan 531 mangsa yang terdiri daripada 187 keluarga.

“Kebanyakkan mangsa banjir sudah siap siaga kerana mereka ini sudah ada pengalaman menghadapi banjir setiap tahun, maka mereka tidak mudah panik,” katanya ketika menguruskan bantuan makanan kepada mangsa banjir.

Khairul Nizam Abd Manap, 44, berkata rata-rata mangsa sudah biasa menghadapi banjir terutama mereka yang mendiami kawasan di pinggir sungai.

“Pada tahun ini dalam sejarah di kampung ini yang mana kampung dilanda banjir sebanyak dua kali selang beberapa hari sahaja,” tambahnya lagi.

Diman Deraman, 66, pula berkata gelombang kedua ini sudah dijangka akan melanda kampung berbanding dengan gelombang pertama pada hujung Februari lalu.

“Rata-rata penduduk tidak menjangka banjir akan melanda pada masa beberapa hari hujan turun.

“Bagi penduduk kampung, mereka tidak mudah panik kerana barisan pentadbiran kampung yang diketuai oleh ketua kampung sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh setiap tahun,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda