Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah turun padang memberi sumbangan bantuan wang tunai daripada Kerajaan Negeri Johor kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan kit makanan kepada mangsa banjir, di sini pagi tadi.
“Sumbangan bantuan wang tunai Kerajaan Negeri Johor bernilai RM300 diberi kepada KIR yang layak menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) merangkumi mangsa yang menginap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mangsa yang tidak menginap PPS,” ujar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Setakat pagi tadi, berdasarkan status terkini mangsa bencana di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak, seramai 67 keluarga yang terdiri daripada 261 mangsa banjir telah ditempatkan di PPS tersebut.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Dato’ Onn Jabbar @ Ja’afar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pegawai Daerah Tangkak Azman Haji Mohamed Shah serta ketua-ketua jabatan daerah Tangkak.
-ZS-