
Laporan/foto: Haliza Mohd Taib/Mohd Shazreen Suradi
MUAR, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Pejabat Kadi Daerah Muar dengan kerjasama Masjid Sultan Ibrahim dan Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Muar telah mengadakan program Konvoi Bermotor Semarak Ramadan Daerah Muar, semalam.
Program bertujuan menyemarakkan serta mewar-warkan kehadiran bulan keberkatan iaitu bulan Ramadan kepada masyarakat daerah Muar.
Imam Daerah Muar, Mohd Faiz Abidin mengucapkan terima kasih kepada peserta konvoi bermotor, Pejabat Penerangan Daerah Muar, Pejabat Daerah Muar dan penghulu-penghulu yang membantu melancarkan serta menjayakan program seperti yang telah dirancangkan.
“Masyarakat perlu menjadikan bulan Ramadan ini sumber menambahkan pahala dan mencari keredaan-Nya untuk kita berpeluang meningkatkan amalan dengan mengkhatam bacaan al-Quran,” ujarnya.
Antara aktiviti di setiap lokasi adalah mengedarkan kit Ramadan berisi kalendar 2023, buku Khutbah Jumaat, panduan solat tarawih, kurma, poster Menghormati Ramadan dan kod QR jadual berbuka puasa serta hebahan melalui kenderaan van bergerak Jabatan Penerangan Malaysia.
Lokasi yang dikunjungi adalah Pasar Tani Jalan Stadium, Restoran Al-Hadad, Restoran Kamil Nasi Ayam Madu, Restoran Murtabak Cheese, Restoran Sri Muar dan Medan Selera Dataran Tanjung Emas.
Peniaga Pasar Tani Jalan Stadium, Khadijah Ahmad, 67, berkata selepas dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau akhirnya sudah boleh berniaga untuk mencari rezeki.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kadi Muar kerana mengambil pendekatan secara dekat menyantuni masyarakat dengan mengedarkan kit Ramadan serta hebahan secara tidak langsung mengingatkan peniaga dalam Daerah ini untuk mematuhi peraturan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Turut hadir Kadi Daerah Muar, As-Sheikh Mohd Khalil Md Nor, pengerusi masjid dan pegawai-pegawai penerangan.
-ZS-