Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menjayakan program literasi kewangan pertama melibatkan penyertaan teramai secara serentak di seluruh negara.
Wakil MBOR, Siti Hajar Johor berkata program tersebut mendapat penyertaan seramai 38,843 orang.
“Maka dengan rasminya Program Literasi Kewangan AKPK dan JPPKK mencatatkan MBOR sebagai penyertaan terbanyak secara serentak,” katanya semasa pengumuman di Kolej Komuniti Selayang di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK Ts Zainab Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir.
Sementara itu, Ts Zainab Othman, berkata pihaknya amat berbangga pelaksanaan program berimpak tinggi dicatatkan di dalam aktiviti ‘Global Money Week’ sehingga mencipta MBOR.
“Pencapaian sebegini sudah pasti akan meningkatkan ketampakan (visibility) politeknik dan kolej komuniti sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam melaksanakan program yang memberi manfaat kepada seluruh warganya.
“Program yang dijalankan amat bertepatan dalam membantu meningkatkan kesedaran kepada pelajar dan warga politeknik dan kolej komuniti di seluruh Malaysia tentang kewangan peribadi yang cekap,” katanya.
-ZS-