Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bot Pam Ditahan Hasil Risikan Maritim Malaysia

By 20 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Sabah)

KUDAT, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Sebuah bot pam tidak berdaftar berjaya dikesan melakukan aktiviti bom ikan di perairan Kudat, di sini semalam.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne, berkata hasil maklumat risikan kelihatan sebuah bot pam sedang terapung di kedudukan 0.82 batu nautika tenggara Pulau Lingkutan, Banggi, Kudat lebih kurang pukul 11.00 pagi.

“Bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak sejurus menerima maklumat dan menemui sebuah bot sedang terapung di lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati ia dikendalikan seorang lelaki warga Filipina berusia 57 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Turut ditemui bahan letupan serta peralatan mengebom ikan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611 858 atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda