Laporan/foto: Zuriatina Tamat
KLUANG, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 127 masjid dan 33 surau di seluruh Johor menerima kemudahan Wi-fi secara percuma inisiataif Kerajaan Negeri Johor.
Sumbangan yang diterima oleh masjid dan surau yang terpilih itu merupakan dana permulaan Wi-fi secara percuma hasil kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Telekom Malaysia (TM).
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sumbangan permulaan penubuhan Wi-fi ini adalah untuk pendigitalan kawasan luar bandar selain dapat mengimarahkan masjid.
“Hampir semua masjid dan surau seluruh Johor menerima inisiatif ini dan kerajaan berharap ia tidak akan disalahgunakan,” katanya di Majlis Berbuka Puasa di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam, di sini semalam.
Pemasangan talian Wi-fi tersebut melibatkan kos RM470,404.80 yang mana RM29,812.80 daripada kos tersebut adalah bagi daerah Kluang.
Kadi Daerah Kluang Hj Sabarudin Ithnin memberikan pandangan positif berhubung inisiatif kerajaan negeri dan menyambut baik pelaksanaannya memandangkan pada masa kini maklumat boleh didapati di hujung jari.
“Maka kaedah dakwah juga perlu selari dengan perubahan masa.
“Masjid Bandar Kluang akan menambah baik Wi-fi sedia ada dengan sumbangan yang diberikan ini dan berharap pihak yang terlibat dapat melakukan kawalan Wi-fi seperti mematikan talian pada waktu solat dan menyekat kandungan-kandungan yang tidak sepatutnya,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut Menteri Besar Johor turut menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada sekolah-sekolah agama kerajaan negeri di daerah Kluang.
-ZS-