
Laporan/foto: Hafiz Khairon/Basharudin Md Yasin (Kuantan)
KUANTAN, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Golongan belia diseru untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan aktiviti yang berfaedah.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Berkanun Fadzli Mohamad Kamal, berkata aktiviti kerohanian bagi golongan belia seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dapat dimanfaatkan.
“Saya menyeru agar semua remaja dan golongan belia dapat memanfaatkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti pada masa lapang dan lebih-lebih lagi program kerohanian seperti ini kerana ia dapat menjadi banteng kepada anak-anak muda bagi mendepani cabaran pada masa kini,” katanya selepas merasmikan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pahang, di sini semalam.
Program tersebut merupakan program Ikonik Rakan Muda yang dianjurkan pada bulan Ramadan setiap tahun yang melibatkan penyertaan daripada golongan belia berusia 15 hingga 25 tahun seramai 175 peserta.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Majlis Tadarus al-Quran, gotong-royong memasak bubur lambuk, pertandingan taranum, azan, khat dan majlis berbuka puasa.
-ZS-