Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KPDN Lancar ‘Ops Tiris’ Tanggani Penyelewengan Subsidi

By 7 April 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor

PELABUHAN KLANG, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Tiris yang berkuatkuasa selama enam bulan bermula 1 Mac lalu bagi mengenal pasti punca dan menangani ketirisan subsidi diesel yang dianggarkan RM10 billion tahun 2022.

Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof, berkata operasi itu melibatkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain bagi menggerakkan arahan pemeriksaan dan operasi secara bersama ke atas barang kawalan berjadual bersubsidi jenis minyak diesel.

“Sehingga 4 April sejumlah 3,654 premis telah diperiksa dengan 95 kes dihasilkan dan berjaya menyelamatkan 1.4 juta liter subsidi diesel yang bernilai RM3,025,336,” katanya dalam satu kenyataan selepas menyertai tinjauan dan rondaan di sekitar perairan, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah KPDN Negeri Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey.

Menurut Azman, pihak KPDN akan terus mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguatkuasa relevan bagi memberikan penerangan berkaitan gerak kerja serta perancangan taktikal Ops Tiris Bersepadu di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dalam mengekang ketirisan barang kawalan melibatkan diesel.

“Kementerian serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barangan bersubsidi diesel di darat dan laut,” tegas beliau.

Katanya, tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mana-mana pihak terlibat di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah AKB 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

-ZS-

Tinggalkan komen anda