
Laporan/foto: Nazlia Naim/Viji Kiruthika Sondararaj (Seberang Perai Tengah)
SEBERANG JAYA, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ) terus memperkukuh nilai integriti pentadbirannya menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam kalangan anggota di Dewan Kuliah Kolej, semalam.
Pihak KKSJ dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan lafaz ikrar dan menandatangani IBR dengan disaksikan oleh Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya Ts Hj Husaini Aza Mohd Adam dan ASP SPRM Pulau Pinang Tuan Mazlan Haja Maideen.
“Harapan saya dengan lafaz ikrar ini dapat membantu warga KKSJ untuk sentiasa beringat serta mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan. Saya juga menggesa semua warga agar menjauhkan diri daripada terlibat dengan unsur yang boleh membawa kepada salah guna kuasa atau rasuah,” kata Husaini Aza.
Seramai 50 orang kakitangan telah menandatangani ikrar ini yang jelas memperlihatkan sifat keterbukaan kepimpinan KKSJ dalam membanteras rasuah dan mengukuhkan nilai integriti. Ia juga membuktikan usaha memerangi rasuah adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh anggota masyarakat terutamanya penjawat awam.
Timbalan Pengarah Pengurusan KKSJ Mohd. Hanif Iberim yang mengetuai bacaan ikrar berharap agar semua warga KKSJ dapat megukuhkan nilai integriti dan bersama-sama memerangi rasuah dalam keseluruhan operasi dan pengurusan KKSJ.
IBR merupakan satu inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar dan akur janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta berusaha menjauhi diri daripada aktiviti rasuah.
-ZS-