Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)
SIK, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Walaupun tempahan pada tahun ini agak berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun pengusaha biskut Norhamizah Abd Hamid, 37, bersyukur kerana masih mempunyai pelanggan tetap.
“Walaupun harga barangan naik, tapi kami tetap mengutamakan kualiti serta kehendak pelanggan.
“Saya buat dan jual tujuh jenis biskut raya tradisional dan moden pada harga yang berpatutan,” ujar usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Norhamizah setipa kali menjelang Syawal dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
“Kebanjiran pelbagai kuih moden dengan dekorasi lebih menarik dan pelbagai pilihan warna tidak menjejaskan minat orang ramai terhadap biskut raya tradisional.
“Tidak lengkap rasanya Syawal tanpa biskut raya tradisional untuk dinikmati bersama keluarga ataupun dihidang kepada tetamu yang bertandang ke rumah.
Selain RISDA, Norhamizah juga mendapat bimbingan dan bantuan peralatan serta mesin daripada Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
-ZS-