Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/KPJ Johor
JOHOR BAHRU, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Bubur lambuk sayur resepi istimewa Hospital Pakar KPJ Johor telah disumbangkan kepada orang ramai menerusi Program Bubur Lambuk Kasih Ramadan KPJ Johor 2023, di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif hospital Haliza Khalid, berkata bubur lambuk sayur ini jarang disediakan ketika bulan Ramadan tetapi ia mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding beberapa versi bubur lambuk lain.
“Bubur lambuk sayur ini sukar ditemui kerana memerlukan tukang masak yang mahir selain ianya lebih berkhasiat kerana mengunakan bahan sayur-sayuran dan ulaman semula jadi seterusnya menjadikan resepi ini sedap untuk dihidangkan pada waktu berbuka,” katanya.
Menurut Haliza, penyediaan bahan-bahan mentah seperti memotong bawang, halia, lengkuas dan sayur-sayuran dilakukan secara gotong-royong oleh anggota pekerja KPJ Johor.
“Sebanyak enam kawah digunakan untuk memasak bubur lambuk ini di mana setiap kawah dapat menyediakan lebih 300 bungkus bubur lambuk dan jumlah keseluruhan sebanyak 3,000 bungkus diedarkan kepada pelanggan dan masyarakat setempat sekitar Johor Bahru,” ujarnya.
Program kali ini lebih bermakna apabila mendapat sokongan daripada pihak Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Kelab Media Johor dan SAJI Malaysia untuk agihan bubur lambuk ke rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim.
-ZS-