
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Mohd Azali Syam Ariffin (Labuan)
LABUAN, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Program Perumahan Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dilaksanakan buat julung kalinya di Wilayah Persekutuan Labuan bagi menyediakan kediaman kepada golongan memerlukan.
Menurut Pengerusinya Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, program itu merupakan skim perintis kepada pengupayaan golongan asnaf dalam aspek prumahan dalam sejarah sejak pembukaan MAIWP.
“Melihat kepada harga pasaran rumah yang tinggi serta keterbatasan kemajuan asnaf untuk memiliki rumah sendiri, MAIWP terpanggil untuk membantu menerusi inisiatif Program Perumahan Asnaf yang dilaksanakan buat julung kalinya di Wilayah Persekutuan Labuan ini.
“Pemilihan Perumahan Ganggarak Permai di bawah seliaan Perbadanan Labuan (PL) ini amat bersesuaian untuk dijadikan inisiatif sulung Projek Perumahan Asnaf MAIWP di Wilayah Persekutuan Labuan yang melibatkan kos perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM33.83 juta untuk 140 unit rumah yang merangkumi kos pembelian dan perabot asas,” katanya semasa menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih bersempena Majlis Penyerahan Rumah Asnaf MAIWP Labuan di Perumahan Ganggarak Permai, pagi tadi.
Jelasnya, program itu juga merupakan manifestasi kesungguhan MAIWP dalam membantu golongan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.
“MAIWP ingin melihat tempat tinggal asnaf ini menjadi satu sistem sokongan yang dapat membantu mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan. Asnaf yang tinggal di sini dalam sebuah komuniti akan dilengkapi dengan satu mekanisme intervensi mencakupi aspek kerohanian, pendidikan, perekonomian,kebajikan, keselamatan,kelestarian dan sebagainya,” jelasnya.
Pada majlis itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mengurniakan surat tawaran Rumah Asnaf kepada 50 orang asnaf yang terpilih untuk fasa yang pertama.
-ZS-