Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Mohd Azali Syam Ariffin (Labuan)
LABUAN, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 1,350 orang warga Labuan terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan golongan miskin menerima sumbangan Nur Ramadan pada tahun ini.
Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan semalam, bantuan itu akan diagihkan secara berperingkat oleh Perbadanan Labuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Penganjuran Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan di samping menambahkan lagi nilai kasih sayang dalam kalangan warga Labuan di bulan Ramadan yang mulia ini, seterusnya dapat memperkukuh dan memperkayakan interaksi antara pihak kerajaan bersama rakyat seiring dengan matlamat Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan mengurniakan sumbangan Nur Ramadan berupa wang tunai kepada 100 orang fakir miskin di Labuan, semalam.
-ZS-