Laporan/foto: Sheikh Mohamed Nazim Sheikh Abd Kadir/Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 331 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi Daerah Segamat yang diadakan di Dewan Muafakat Taman Yayasan, semalam.
Penghulu Mukim Buloh Kasap Nor Rafizan A.Rahman memaklumkan 331 KIR yang hadir adalah mereka yang mendaftar di 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap.
“Kesemua bayaran BWI bagi daerah Segamat perlu diselesaikan sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri.
“Setiap penerima bantuan akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 daripada peruntukan Kerajaan Pusat dan RM300 daripada peruntukan Kerajaan Negeri,” katanya.
Penyerahan BWI 2023 bagi mukim Buloh Kasap dan Gemas ini telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman dan turut disaksikan oleh ketua-ketua jabatan yang hadir.
Menurut penerima Wahid Mahadi, 56, beliau rasa bersyukur kerana mendapat bantuan dan berhasrat menggunakkan wang yang diberikan untuk persiapan hari raya yang akan kunjung tiba tidak lama lagi.
Jumlah mangsa yang hadir bagi menerima bantuan pada semalam adalah seramai 297 KIR daripada mukim Buloh Kasap dan 34 KIR daripada mukim Gemas.
Turut hadir Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Mohamad Kamil Mohd Pang, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Segamat Kapten Nor Hisyam Abdullah dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan.
-ZS-