
Laporan/foto: Siti Zuraida/Muhd Hafizi Zainal (Jempol)
JEMPOL, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Agihan bubur lambuk anjuran Pejabat Penerangan Daerah Jempol, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jambu 8, Komuniti Taman Desa Penarikan dan Pertubuhan Legasi Qalam Insan Rabbani (LEQIR) telah diadakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor, dekat sini baru-baru ini.
“Kami amat berbesar hati dan sangat menghargai hubungan silaturahim bersama komuniti-komuniti yang terdapat di kawasan ini.
“Melalui program seperti ini ianya bukan sahaja merapatkan bahkan keberadaan antara jabatan dan komuniti dapat disantuni serta penyaluran maklumat yang tepat dan sahih juga dapat dikongsikan secara berterusan,” kata Pegawai Penerangan Siti Noorezrin Mahmod.
Katanya, berpaksikan konsep Malaysia Madani diadun pula dengan semangat kerjasama yang ada dalam kalangan komuniti, mencantikkan lagi hasil usahasama bagi menghasilkan bubur lambuk untuk dikongsikan bersama masyarakat setempat serta warga Jempol khususnya.
“Terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama mengedarkan bubur lambuk beserta edaran bahan risalah Malaysia Madani, risalah dari pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan juga LEQIR. Sambil edar bubur lambuk kita edar bahan maklumat, tidak pasti jangan kongsi,” katanya.
Menurut Pengerusi KRT Jambu 8, Jeganathan, 63, usaha sama ini dilaksanakan bagi merapatkan silaturahim tanpa mengira kaum.
“Melalui program seperti ini ia berjaya membuktikannya bahawa kita saling melengkapi antara satu sama lain dan ianya dapat dizahirkan menerusi bubur lambuk yang telah dihasilkan.
“1,000 bubur lambuk ini akan diagihkan kepada sesiapa sahaja yang akan melalui jalan Bahau-Juasseh. Bagi yang bermusafir diharap bubur lambuk ini akan dapat dijadikan juadah berbuka puasa sementara sampai ke destinasi yang dituju nanti,” katanya.
-ZS-