
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai lebih kurang 50 orang pelanggan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berstatus Orang Kena Pengawasan (OKP) hadir ke Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (Jiwa) dan memulakan rawatan pemulihan di Pusat Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Batu Pahat, semalam.
“Antara kepentingan solat adalah membentuk jati diri manusia untuk patuh kepada kebenaran dan meninggalkan kemungkaran dan juga meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
“Dengan solat itu sendiri dapat meningkatkan ketakwaan seseorang manusia dan membuatkan manusia taat kepada Allah SWT dan berusaha menjadi insan yang lebih baik dan meninggalkan perkara yang membawa kerosakan kepada diri kita dan juga keluarga,” ujar Takmir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), AADK Batu Pahat, Mislan Saibban dalam ceramah Keluarga Sakinah.
Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat, Musliha Yusof, turut memberi penerangan secara menyeluruh mengenai peranan Enam Rukun Malaysia Madani dalam membentuk keperibadian seseorang bangsa Malaysia iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan kepada para pelanggan AADK yang berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik dan menjalani pemulihan untuk bebas dadah.
Menurut OKP yang identitinya dirahsiakan, dia bersyukur kerana masih ada sinar baru buatnya untuk berubah dan berusaha untuk bebas dari penagihan dadah demi menjadi orang yang berguna buat keluarga, bangsa, agama dan negara.
“Saya berharap masyarakat dapat memberi galakan dan sokongan menyeluruh buat OKP seperti saya dalam perjuangan untuk bebas dadah dan menjadi kembali normal dan menjalani kehidupan yang lebih baik di masa hadapan,” ujarnya.
-ZS-