
Laporan/Foto: Sharifah Ithnin / Fariza Farnoh (Melaka)
AYER KEROH, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, komited untuk memastikan semua produk pelancongan di Negeri tersebut mencapai taraf 5 bintang, dengan pelancaran slogan Tahun Melawat Melaka 2024 iaitu ‘Mana lagi, Melaka lah!’.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mempergiat aktiviti promosi sektor pelancongan, dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menaiktaraf produk pelancongan, termasuk bangunan-bangunan terbiar di kawasan Tapak Warisan Dunia.
“Bagi memperkasakan industri pelancongan Melaka ke tahap yang lebih cemerlang, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menganjurkan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan memperkenalkan slogan baharu iaitu ‘Mana lagi, Melaka Lah…’.” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2023, di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan menghiasi semua koridor dan pintu masuk ke Negeri Melaka, bagi mengangkat reputasi Negeri tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.
-HS-