
Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)
SEBERANG JAYA, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Taman Upcycle MBSP menjadi tarikan kepada pengunjung di Bandar Perda, di sini.
Taman yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Masjid Daerah itu setiap hari terutamanya hujung minggu menjadi pilihan untuk beriadah bersama keluarga sambil melihat pelbagai produk kitar semula.
Antara barangan yang digunakan untuk dijadikan produk kitar semula adalah tayar kereta dan motosikal terpakai, kayu-kayu lama, botol dan lain-lain lagi.
Menurut Nur Amelia Hamdan, 35, beliau dan keluarga datang pada waktu petang untuk beriadah dan melihat pelbagai barangan kitar semula yang dijadikan produk baharu antaranya replika motosikal, pondok telefon, rak buku, rak pasu, replika burung dan banyak lagi.
“Ini adalah salah satu usaha dan inisiatif yang baik daripada pihak MBSP untuk mendidik orang ramai bagi menjadikan sisa bahan buangan sebagai produk baharu melalui reka bentuk yang kreatif,” katanya.
-ZS-