
Laporan/foto: Muhaimin Musa/Rajeswari Anbalagan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Rakyat perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam ekonomi digital dengan memanfaatkan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Komuniti Seri Pantai anjuran Touch ‘n Go Sdn Bhd, TNG Digital Sdn Bhd dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, di sini semalam.
Menurut Fahmi, dengan kemudahan sedia ada seperti Pusat Ekonomi Digital (PEDi), tiada alasan bagi orang ramai untuk tidak berusaha bagi menghilangkan kemiskinan yang menjadi aspirasi Kerajaan Perpaduan ini.
“Saya harap kemudahan ini dimanfaat sebaiknya. Pergi ke PEDi belajar bagaimana untuk terlibat dalam ekonomi digital, bagaimana kemudahan ini boleh memajukan ekonomi kita.
”Memang kita bagi bantuan sama ada bakul makanan, Bakul Rahmah, subsidi dan sebagainya tapi lebih daripada itu untuk benar-benar mengatasi masalah kemiskinan, kita perlu sediakan joran,” katanya dalam nada kiasan.
Sebanyak 100 komputer tablet disumbangkan kepada para pelajar yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai dengan harapan ianya dapat membantu pembelajaran anak-anak yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang.
-ZS-