Laporan/foto: Mohd.Yusof Abd. Samad
TANGKAK, 17 April (Malaysiaaktif) – Program Lawatan Rahmah Mesra Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh bersama Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Tangkak ke beberapa premis Usahawan Industri Asas Tani di daerah ini semalam disambut baik oleh peniaga terbabit.
Menurut Syed Ibrahim, pendekatan ini adalah satu langkah mendekati serta memahami cabaran yang dihadapi peniaga masa kini.
“Walaupun menghadapi pelbagai rintangan terutama kekurangan modal, mereka perlu kuat dan bijak mendapatkan bantuan terutama daripada jabatan-jabatan kerajaan tertentu terutama Jabatan Pertanian,” katanya.
Salah seorang usahawan bimbingan Jabatan Pertanian Najwa Ali, 28, yang mengusahakan biskut kelapa melahirkan rasa gembira dikunjungi pemimpin tempatan dan pegawai pertanian malah berpendapat ianya menyuntik semangatnya untuk berusaha lebih gigih dalam kerjayanya ini.
“Bantuan daripada Jabatan Pertanian dalam memberikan modal membeli mesin membuat kuih mencetuskan inspirasi untuk dirinya lebih berjaya pada masa akan datang.
“Jabatan Pertanian memberi khidmat nasihat di samping menggunakan bangunan yang disediakan dengan kadar bayaran bulanan yang berpatutan membantu saya meningkatkan kualiti jualan,” katanya.
Turut hadir Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Tangkak Puan Akmal Abdullah dan isteri Ahli Parlimen Ledang Professor Dr. Mela Sutra Md. Dali.
-ZS-