
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) meneruskan tradisi rewang memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada warganya serta komuniti setempat.
Uniknya, penyediaan memasak bubur lambuk yang dilakukan secara gotong-royong itu turut menyatukan para pelajar dan pensyarah yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.
Pengarah PSA Dr Norhayati Zakaria, berkata walaupun bersifat santai, program seumpama itu merupakan platform yang baik untuk para pelajar mengenali dan meraikan kepelbagaian agama, adat dan budaya.
“Ini merupakan satu lagi keunikan negara kita, setiap kali bulan Ramadan bubur lambuk pasti menjadi hidangan wajib yang turut dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Menariknya tahun ini, PSA menyediakan tiga jenis hidangan bubur lambuk iaitu ayam, daging dan udang sebagai menghormati sesetengah kaum atau individu yang tidak boleh makan hidangan tertentu,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan bubur lambuk kepada warga PSA, di sini semalam.
Sementara itu, pelajar Diploma Perniagaan Antarabangsa, Yuvetha Selvakumar Naidu, 20, berasa sangat teruja bersama-sama rakan dan pensyarah menyediakan juadah bubur lambuk.
“Ini kali pertama saya menyertai program seperti ini dan dapat merasai kemeriahan rakan-rakan beragama Islam berpuasa dan menyambut bulan Ramadan.
“Di samping itu, dengan sedekah makanan ini terutamanya kepada para pelajar dan orang susah, ia mendidik saya untuk bersyukur dan berkongsi dengan orang lain,” katanya.
-ZS-