
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS
SHAH ALAM, 14 Apr (Malaysiaaktif) β Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti masalah kualiti sumber air di Sungai Serdang, Kapar adalah berpunca daripada sisa arang batu dan pembuangan sisa minyak sawit secara haram.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian memaklumkan terdapat sisa arang batu dari premis stesen janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kawasan kampung dan seterusnya masuk ke Sungai Serdang.
βAliran sisa arang batu tersebut berpunca daripada kebocoran di premis stesen janakuasa terlibat dan kerja pembaikan serta pembersihan telah dilakukan oleh pemilik stesen dengan kadar segera dan tiada lagi aliran yang tercemar dikesan,β katanya dalam satu kenyataan semalam.
Loy Sian berkata, siasatan LUAS juga menemukan aliran berwarna putih tersebut dan menemui punca daripada pembuangan sisa minyak sawit yang disyaki telah dibuang secara haram oleh individu yang tidak dikenal pasti menggunakan sebuah lori tangki.
Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang menyemak status pemilik tanah serta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkaitan sisa yang dibuang secara haram bagi tujuan tindakan penguatkuasaan.
βTiada kesan kepada bekalan air memandangkan tiada loji rawatan air (LRA) berada di kawasan Sungai Serdang.
βNamun LUAS sentiasa peka dan pro-aktif untuk memastikan keadaan sumber air negeri terutamanya sungai sentiasa terpelihara dan diambil tindakan segera,β katanya.
Pada Rabu lalu, LUAS menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden permasalahan kualiti sumber air yang terjejas di sungai tersebut.
-ZS-