
Laporan/Foto: Noor Sazarina Mohd Noor (Hulu Langat)
PANDAN, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Pecah Tanah Pembinaan Gelanggang Futsal dan Naik Taraf Sistem Perparitan Padang Taman Melur 15 telah telah diadakan di Padang Taman Melur 15, di sini hari ini bagi kemudahan penduduk setempat.
Projek ini merupakan projek kerajaan negeri Selangor (Penyayang) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai. Sebanyak RM196,100 diperuntukkan untuk pembinaan gelanggang futsal dan RM50,000 bagi projek longkang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Penyelaras Dun Teratai Ng Sze Han, sebanyak 13 Projek Penyayang telah dilaksanakan di DUN Teratai merangkumi projek naik taraf infrastruktur, pengindahan landskap, mitigasi banjir dan sebagainya.
“Projek-projek infrastruktur ini diharap diperluaskan ke kawasan lain di Ampang Jaya untuk kemudahan penduduk setempat bagi aktiviti riadah, sukan dan seterusnya melahirkan generasi yang sihat selaras dengan Matlamat Sustainable Development Goals (SDG) yang ketiga iaitu memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur.
“Projek longkang pula diharapkan dapat mengatasi masalah banjir kilat apabila tibanya monsun timur laut,” katanya.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr. Ani Ahmad, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Hulu Langat Yuhanas Auree Kamaruddin dan Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya Zon 23 Mohamad Samat.
-ZS-