
Laporan/foto: Muhaimin Musa/Wan Muhammad Afiq (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Inisiatif Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. mengagihkan dekoder MYTV kepada 700 warga Lembah Pantai bermatlamat menyediakan pelbagai pilihan program tempatan dan antarabangsa yang berkualiti Definisi Tinggi (HD) di bawah satu platform secara percuma.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, usaha tersebut bertujuan membantu warga Lembah Pantai mendapatkan kualiti siaran yang tinggi setelah penamatan siaran analog kepada digital khususnya untuk golongan B40.
“Ini merupakan bukti usahasama kerajaan dan swasta untuk mengurangkan jurang akses supaya maklumat terkini dapat disalurkan kepada rakyat serta dapat menerima berita yang sahih bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Suzaman Abd Rahman, Penasihat Kumpulan Yayasan Albukhary Datuk Seri Abdul Aziz Shahar, Pegawai Operasi MYTV Broadcasting Azlina Yusuf.
-ZS-