Laporan/foto: Norfatihah Abd Jamin/Mohd Farhan Abd Rahim (Kinta)
IPOH, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Program ‘One Hour Clean Up’ yang dilancarkan di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun pada Sabtu lalu merupakan penjenamaan semula Kempen Cari dan Musnah yang diadakan sebelum ini bagi menangani masalah denggi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad, gotong-royong mega ini diadakan bertujuan menggerakkan masyarakat dan seluruh agensi terlibat untuk sama-sama mengambil tindakan membersihkan tempat tinggal atau kerja serta kawasan persekitaran bagi memastikan kawasan tersebut bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.
“Saya pasti program ini mampu menggembleng tenaga masyarakat setempat untuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran program ini dan berharap gotong-royong ini akan memberi impak kepada pengurangan tempat pembiakan Aedes di Kampung Tersusun Batu 5, seterusnya menjadi budaya masyarakat ke arah persekitaran bersih dan selamat,” katanya ketika merasmikan Program Gotong-royong Mega 1.0 dan ‘One Hour Malaysia Clean Up’ Peringkat Negeri Perak 2023.
Tambah Muhamad Arafat, program ini bukanlah satu program berbentuk sekali beri tetapi merupakan aktiviti masyarakat yang perlu dijalankan secara berterusan bagi mewujudkan komuniti bebas denggi.
“Saya harap aktiviti ini menjadi salah satu program wajib dalam kalendar bulanan komuniti setempat,” ujarnya.
-ZS-