Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)
KUALA NERUS, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Niat membawa anak berusia lima tahun menyertai pertandingan mewarna membawa tuah kepada Syed Mohd Saggaf Syed Ubaidillah, 35, apabila dia terpilih memenangi sebuah motosikal, hadiah utama dalam Karnival Kita Madani, di sini semalam.
“Saya bersama isteri membawa anak sulung kami hadir untuk menyertai pertandingan mewarna namun anak saya tidak dapat menyertai pertandingan itu kerana terdapat masalah teknikal dan mengambil keputusan untuk menunggu sehingga acara selesai.
“Alhamdulillah, rezeki anak-anak. Saya berasa sangat teruja apabila mendengar juruacara membaca nombor kad pengenalan saya ketika mengumumkan hadiah utama cabutan bertuah,” katanya yang turut menderma darah dalam karnival itu.
Dalam pada itu, lebih 6000 pengunjung hadir ke Karnival Kita Madani 2023 peringkat Negeri Terengganu anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Nerus dengan Kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir di Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus.
Karnival yang diadakan selama dua hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan, cabutan bertuah, pertandingan melukis bagi kanak-kanak, tukar minyak hitam motosikal secara percuma, perpustakaan bergerak, bayaran saman trafik, pemeriksaan motosikal, pertandingan gubahan pulut kuning dan tuala, pertandingan sepak bola gol kecil, pertandingan skor bola jaring, program derma darah, kenduri rakyat dan persembahan dikir barat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah merasmikan majlis penutup karnival.
-ZS-